Monday 21 March 2022

Mohon Saudi pertimbang seramai mungkin jemaah haji Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia memohon pertimbangan Kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan sebanyak mungkin jemaah haji negara ini menunaikan ibadah itu tahun ini mengikut jumlah kuota yang diberikan sebelum ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Malaysia memahami sebarang keputusan yang akan diambil oleh Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1443 Hijrah akan mengambil kira situasi semasa.

Sehubungan itu, beliau menyampaikan ucapan berterima kasih kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq bin Fawaan Al-Rabiah di atas jemputan kepadanya menghadiri Persidangan Dan Pameran Haji Dan Umrah di Jeddah.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya mengizinkan saya menerima jemputan ke bumi yang barakah ini,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Beliau juga amat berbesar hati menyampaikan kepada Tuan Yang Teutama ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim Al Haramain Al Syarifain Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud serta Putera Mahkota Mohammad bin Salman yang telah banyak melaksanakan penambahbaikan dan kemudahan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan para Tetamu Allah semasa mereka menunaikan haji.

“Kami amat memahami tanggungjawab dan cabaran yang digalas oleh Kerajaan Saudi bagi menangani wabak Covid-19 ketika itu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam sejagat,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah di atas kerja keras dan kesungguhan Kementerian Haji dan Umrah, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain agensi Arab Saudi yang terlibat dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji terjamin dan terhindar dari wabak Covid-19.

Katanya, semoga segala usaha murni menyantuni para dhuyufurrahman itu diterima oleh Allah SWT sebagai amal khair.

“Saya juga amat berbesar hati untuk memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama bahawa Kerajaan Malaysia akan menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan semula jemaah haji daripada luar negara datang ke Tanah Suci ini menunaikan ibadat haji.

“Mewakili Kerajaan Malaysia memohon pertimbangan Kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan sebanyak mungkin jemaah haji Malaysia menunaikan haji tahun ini mengikut jumlah kuota yang diberikan sebelum ini.

“Kami memahami sebarang keputusan yang akan diambil oleh Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1443 Hijrah akan mengambil kira situasi semasa,” katanya lagi.

Menurutnya, Malaysia telah membuat persediaan yang rapi dan teliti bagi mempersiapkan rakyat negara ini dari aspek pengetahuan dan kesihatan diri untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Tambahnya, Malaysia akan juga memastikan ibadat haji jemaah dari negara ini akan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan serta SOP berkaitan operasi haji yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi pada tahun ini.

“Pihak Kerajaan Arab Saudi memuji pengurusan Tabung Haji Malaysia dalam menguruskan haji sebelum ini.

“Beliau berharap negara Malaysia dapat menjadi contoh dan menjadi ikutan kepada negara-negara yang lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2022

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2022/03/20/mohon-saudi-pertimbang-seramai-mungkin-jemaah-haji-malaysia/

No comments:

Post a Comment